SELANGOR FC
NEWS AND UPDATES

TERAS PEMBANGUNAN FA SELANGOR: TERAS 2 (PASUKAN UTAMA)


Sewaktu Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah mengambil alih tampuk pimpinan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pada tahun lalu, lima teras utama telah dikenalpasti dalam usaha untuk menjadikan FAS sebuah entiti yang lebih terkehadapan.

Lima teras tersebut adalah Infrastruktur dan Kemudahan, Pasukan Utama, Pembangunan Akar Umbi, Pengkomersialan dan yang terakhir adalah Tadbir Urus.

Untuk artikel kali ini, kami akan menerangkan kepada anda mengenai teras yang kedua iaitu Pasukan Utama.

Sebelum itu, untuk membaca artikel mengenai teras yang pertama (Infrastruktur Dan Fasiliti) anda boleh klik pautan ini: https://redgiants.faselangor.my/27189-2/

Seperti sedia maklum, pemain adalah komponen penting dalam setiap pasukan dan mereka inilah watak utama yang akan membawa kejayaan kepada pasukan.

Amatlah penting bagi sesebuah persatuan bola sepak untuk menjaga kebajikan pemain terutamanya pemain utama dalam usaha untuk mendapatkan yang terbaik daripada pemain.

Oleh itu, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) telah melakukan beberapa inisiatif untuk memastikan pemain utama sentiasa terjaga dan sentiasa berada dalam keadaan yang terbaik.

Pertamanya, FAS telah menjalinkan kerjasama dengan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam aspek sains sukan di mana penglibatan kepakaran UiTM terbahagi kepada dua iaitu aspek-aspek sains sukan dan analisis prestasi sukan (analisis video).

Untuk aspek sains sukan, UiTM dan FAS telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di mana UiTM menyediakan perkhidmatan sains sukan bagi membantu meningkatkan lagi prestasi pasukan utama Selangor.

Antaranya adalah mengadakan ujian saringan untuk pemain yang ingin FAS tandatangani terutamanya pemain import di mana dengan ujian ini, FAS mampu untuk mengetahui tahap kesihatan dan kecergasan pemain tersebut sebelum FAS membuat keputusan.

Selain itu, UiTM turut menjalankan ujian fizikal terhadap pemain seperti ujian kecergasan kardiovaskular, kekuatan otot, daya tahan otot, kelajuan dan sebagainya.

Tujuan ujian ini dijalankan terhadap kesemua pemain bagi mengetahui keupayaan fizikal mereka dan ianya dijalankan sebanyak dua kali, ketika pra-musim dan pertengahan musim.

Data dari ujian ini akan dijadikan panduan bagi jurulatih kecergasan pasukan untuk merangka program latihan individu yang bersesuaian.

Manakala bagi aspek analisis prestasi pula, UiTM meminjamkan pensyarah mereka iaitu Norasrudin Sulaiman yang merupakan pakar analisa video bagi memberikan lebih banyak input mengenai pihak lawan kepada ketua jurulatih sebagai persiapan hari perlawanan.

Norasrudin sebelum ini pernah berkerjasama dengan beberapa jurulatih di Malaysia antaranya Mehmet Durakovic ketika mencapai misi 33 Piala Malaysia, B. Satiananthan semasa di Felda United, juga bersama jurulatih muda yang kian meningkat naik iaitu Nidzam Jamil di Kejohanan Universiti Dunia (Universiade).

Selain itu, UiTM turut menghantar beberapa pelajar dari jurusan sains sukan dibawah seliaan Norasrudin untuk menjadi penganalisis prestasi bagi pasukan Belia dan Presiden.

Kedua, Avisena Specialist Hospital telah bersetuju untuk menjadi Rakan Perubatan Strategik FAS untuk membantu skuad Red Giants dari segi perubatan dan medikal.

Avisena Specialist Hospital merupakan hospital pakar yang bertapak di Shah Alam yang fokusnya adalah menyampaikan penjagaan kesihatan yang tersendiri dan berkualiti premium.

Dalam konteks ini, Avisena menyediakan sesi pemulihan bagi pemain utama pasukan Selangor.

Avisena memberikan rawatan yang terbaik dan kita boleh lihat bagaimana mereka menangani kecederaan Wan Zack Haikal, Rufiona Segovia serta Endrick Dos Santos.

Yang ketiga adalah penggunaan Global Positioning System (GPS) yang kini pesat digunakan oleh pasukan bola sepak di seluruh dunia.

Dalam dunia yang moden ini, teknologi GPS telah diperkenalkan untuk membantu meningkatkan prestasi sesebuah pasukan bola sepak.

FAS baru-baru ini telah membeli sistem GPS yang berharga kira-kira RM 100,000 untuk digunakan oleh pasukan utama.

Daripada penggunaan sistem ini juga, Selangor mampu untuk mempercepatkan lagi proses pemulihan pemain, memastikan latihan yang dijalankan benar-benar bersesuaian sebagai persediaan menghadapi perlawanan sebenar disamping data GPS mampu memberikan idea bagi jurulatih untuk mencorak taktikal pasukan berdasarkan kepada keupayaan fizikal pemain.

Yang terakhir, bagi meningkatkan lagi hubungan di antara pemain dan peminat, FA Selangor turut mengadakan program Corporate Social Responsibility (CSR).

Pemain pasukan utama turun ke sekolah rendah sekitar Selangor untuk memberi tiket percuma serta poster esklusif kepada kanak-kanak demi menerapkan minat menyokong Selangor daripada kecil.

Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Ini adalah salah satu inisiatif jangka panjang kerana anak kecil inilah yang bakal menjadi penyokong Selangor di masa hadapan dan mungkin juga peminat cilik inilah yang bakal menjadi pemain Red Giants.

Kesemua yang telah diterapkan oleh FAS untuk membantu pasukan utama telah membuahkan hasil.

Walaupun skuad Red Giants yang dibarisi seramai 13 pemain baharu pada awal musim memulakan kempen Liga Super dengan kurang memuaskan, aplikasi sains sukan dan perubatan secara berterusan telah sedikit sebanyak membantu pasukan Selangor untuk memperbaiki prestasi atas padang dan seterusnya meraih tempat ketiga pada penghujung kempen Liga Super 2019.

Lebih banyak lagi inisiatif yang melibatkan pasukan utama akan dilakukan demi memberikan keselesaan dan meningkatkan lagi prestasi pemain dari masa ke semasa mungkin akan memberikan kita kejuaraan.

INI HANYALAH PERMULAAN.